JITRA - Seramai 55 bekas pelajar Sekolah Menengah Jitra tahun 1966-1968 bertemu semula dalam majlis penuh bersejarah sempena 50 tahun mereka  meninggalkan sekolah berkenaan.

Pengerusi Penyelaras Alumni 1966-1968, Datuk Hashim Ahmad berkata, ini merupakan pertemuan mereka kali kedua selepas mengadakannya buat pertama kali  pada tahun 2000 yang lalu.

Katanya, beliau juga berasa terharu kerana ramai  rakan yang tinggal di luar Kedah sanggup pulang untuk memeriahkan majlis berkenaan.

"Malah lebih bermakna lagi, apabila dua orang bekas guru kami sudi hadir dalam majlis ini," katanya semalam.

Menurutnya, majlis yang diadakan selama dua hari satu malam di Zati Eco Retreat  Wang Tepus di sini diisi dengan pelbagai aktiviti.

"Memandangkan program kami ini bersifat santai,  maka aktiviti yang dijalankan juga lebih kepada acara sukaneka. 

"Saya juga berterima kasih kepada pemilik Zati Eco Retreat ini, iaitu Datuk Abdul Mukthi Abdullah yang juga rakan alumni kami.

"Semoga pertemuan ini tidak akan terhenti di sini sahaja, dan ukhuwah antara kami akan berpanjangan  sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu, seorang bekas pelajar Zabedah  Ahmad berkata, majlis ini berjaya menyatu kembali rakan-rakan yang jauh terpisah.

"Seronok dapat jumpa kawan lama sambil bertukar-tukar cerita. Sebab  lama sangat tak jumpa, sampai ada yang dah tak berapa kenal," katanya.