SABAK BERNAM - Seramai 30 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra sesi 1982-1986 hadir memeriahkan program Hari Keluarga di Zamita Resort, di sini.

Pengerusi Penganjurnya, Mohd Nor Sapian berkata, program hari keluarga itu sempena perjumpaan kali kedua kesinambungan daripada perjumpaan pertama di sebuah hotel di Kuala Selangor tahun lalu.

Menurutnya, pada perjumpaan yang turut dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga masing-masing itu telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dan bertemu muka terutamanya sesama ahli yang sebelum ini hanya berinteraksi melalui aplikasi WhatsApp.

“Justeru, semua aktiviti dalam program ini disusun dengan melibatkan semua yang hadir seperti mengadakan gotong-royong penyediaan tempat dan acara sukaneka.

“Kemuncak program diadakan majlis makan malam dan penyampaian hadiah kepada pemenang acara sukaneka,” katanya.

Menurut Mohd Nor, ahli kumpulannya juga aktif dalam aktiviti kebajikan seperti menyantuni golongan gelandangan di bandar Klang pada setiap hari Rabu di samping menziarahi dan menyalurkan sumbangan kepada ahli kumpulan yang dilanda musibah.

“Perancangan tahun depan, kami bercadang untuk adakan lawatan keluarga ke Pulau Pangkor pada musim cuti persekolahan. Diharapkan lebih ramai ahli kumpulan ini bersama keluarga mereka dapat menyertainya,” katanya.