MUAR - Tiada yang lebih menggembirakan bekas pelajar tahun 6/1964 Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jamil di sini apabila dapat berhimpun dan bertemu semula pertama kali setelah menamatkan zaman sekolah rendah.

Pada pertemuan itu, ada sebahagian bekas pelajar tidak dapat menahan air mata kerana terlalu rindu rakan selain tidak sangka berpeluang bertemu  semula.

Salah seorang bekas pelajar yang juga bekas Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur di Jabatan Pertanian Putarajaya, Johari Siraj, 65,  berkata, majlis itu berjaya menghimpunkan seramai 38 pelajar dua kelas iaitu 6A dan 6B.

“Dua kelas berjumlah 75 orang. Namun 11 orang telah meninggal dan 38 orang  berjaya dijejaki dan bertemu dalam majlis hari ini. Bagaimanapun, usaha  untuk mempertemukan 26 lagi rakan kami akan terus dilakukan.

“Sejujurnya, tiada perasaan lain selain bangga melihat kebanyakannya berjaya dalam kerjaya masing-masing. Kehadiran hari ini turut melibatkan rakan-rakan yang telah bermastautin jauh iaitu dari Singapura, New Zealand, Scotland dan United Kingdom,” katanya pada Majlis Reunion Alumni Standard 6 (1964) Primary School Parit Jamil, baru-baru ini.

Johari berkata, usaha mempertemukan semula rakan-rakannya bermula daripada  kewujudan grup WhatsApp yang ketika itu hanya dianggotai empat orang sahaja.