TANAH MERAH - Penubuhan alumni oleh bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria (1) mula menaikkan  nama sekolah di persada negara.

Majlis Temu Mata dan Mesyuarat Agung Khas Alumni Sri Suria (1) atau ringkasnya  ASR1A ini julung kali diadakan bagi memilih dan melantik jawatankuasa penaja
untuk didaftarkan secara rasmi. Guru Besarnya, Mat Nor Hassan berkata, beliau amat mengalu-alukan sokongan bekas pelajar untuk menyumbang dan turut menjayakan program pendidikan di sekolah.

“Untuk mengekalkan dan meningkatkan kecemerlangan, menjadi satu keperluan pihak sekolah.

“Ini juga dapat menjalinkan usahasama rapat dan bersepadu dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni,” katanya.

Sementara itu Wakil Ahli Jawatankuasa Penaja ASR1A, Mohd Abdul Salam Mat Kasim  berkata, persatuan alumni ini bakal menjadi wadah penyatuan bekas-bekas pelajar.

“Dengan adanya persatuan ini, kita juga dapat mendidik generasi baharu sekolah ini supaya mereka bakal menjadi modal insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“ASR1A akan mengumpulkan bekas pelajar daripada penubuhan Sekolah Rendah  Jenis Kebangsaan Inggeris Tanah Merah (NTEPSTM) termasuk penaungnya,
Datuk Azmi Mohd Ali sehingga generasi alumni terkini,” katanya.

Majlis yang diadakan di Dewan Terbuka SKSS (1) hari  ini dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu rasmi dan ikrar pelajar bagi mengembalikan nostalgia majlis perhimpunan yang menjadi tradisi sekolah berkenaan.