PONTIAN - Seramai 55 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi yang memulakan persekolahan pada 1976–1980 bertemu semula selepas terpisah selama 38 tahun.

Pertemuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri diadakan di Homestay Classic Al-Idrus, Jalan Mohd Salleh, di sini, dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran bekas pelajar yang dikenali Generasi 63 atau G63.

Menurut Timbalan Pengerusi G63, Azman Kamar, pihaknya berjaya mengumpulkan seramai 120 bekas pelajar yang memasuki tingkatan satu pada 1976  melalui kemudahan aplikasi WhatsApp.

Katanya, perjumpaan ini kali ketiga diadakan selepas kali pertama pada 2015 di Bio Cafe Pulai Sebatang serta pelancaran penubuhan Alumni G63 di Rumah Citra Parit Pinang di Benut pada tahun sama.

“Kami gembira dapat bertemu pada bulan mulia ini terutama kepada rakan-rakan yang baru menjadi ahli G63 setelah berpisah sama ada selepas  peperiksaan SRP dan SPM,” katanya.

Tambah Azman, ada juga dalam kalangan pelajar terputus hubungan apabila menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Sri Perhentian (SSP) bagi  mengambil aliran Sains atau ke Sekolah Menengah Vokasional (SMV).

“Dalam kesibukan dan kekanganmasa, kami dapat juga berkumpul bagi merapatkan silaturahim,” katanya. Jelas Azman, penubuhan WhatsApp G63  bermula pada 2015 di mana keahlian bertambah serta menjadi medium menyampaikan maklumat malahan undangan majlis perkahwinan dan sebagainya.

Katanya, majlis perjumpaan dimulakan dengan bacaan doa, persembahan marhaban serta penyampaian cederamata kepada semua peserta yang hadir.