KOTA TINGGI - Mahu mengembalikan memori alam persekolahan, alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Felda Bukit Besar menganjurkan majlis pertemuan semula bekas pelajar sekolah itu di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Pengerusi majlis, Kahar Darwin berkata, ini kali kedua alumni sekolah tersebut mengadakan perhimpunan seperti itu yang mengumpulkan semua bekas pelajar tahun 1976-1980.

Menurutnya, seramai 82 alumni dan bekas guru hadir pada majlis kali ini berbanding hanya 69 orang pada majlis pertama yang diadakan di Dewan Bandar Kejora Bandar Tenggara.

“Kami harap reunion ini bukan sekadar untuk berjumpa rakan lama, berborak dan makan-makan saja, tetapi lebih daripada itu.

“Kami mahu menggerakkan satu komuniti besar ini supaya kembali menyumbang kepada sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada pertemuan semula itu ialah bekas guru Matematik, Kadirin Karimun dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sidek Sarman.