Pertemuan semua bekas pelajar tentunya menggamit memori indah zaman belajar satu kelas, malah ada yang kata majlis sebegitu boleh buat jiwa terasa kembali muda kerana masing-masing akan membawa perangai zaman sekolah.

Begitu juga dengan bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Ipoh tahun 1991-1992. Pertemuan keempat mereka berlangsung pada 20 Mei lalu di Hotel UiTM di sini menjadi  permulaan untuk majlis yang lebih besar akan diadakan pada 26 Ogos nanti.

Pengerusi Alumni SMT Ipoh 91/92, Razlan Adli Zain berkata, pertemuan yang dihadiri 50 bekas pelajar dan ahli  keluarga masing-masing itu merapatkan lagi hubungan mereka.

“Pada pertemuan itu, kami melantik beberapa lagi AJK bagi melancarkan majlis yang lebih besar akan diadakan  nanti.

“Apabila hubungan dah akrab, aktiviti yang akan dijalankan juga akan jadi lebih mudah,” katanya.

Kata Razlan, pihaknya menjangkakan seramai 150 bekas belajar akan hadir daripada keseluruhan 200 pelajar kesemuanya pada majlis itu nanti.

“Majlis itu nanti akan diadakan di dewan sekolah bagi mengenang kembali zaman persekolahan.

“Lebih menarik, kami turut menjemput 20 bekas guru untuk turut sama termasuk Cikgu Ali yang sememangnya tinggal di Ipoh dan Cikgu Zainil Aziah yang masih mengajar di sekolah itu,” katanya.

 


Kata beliau, bagi mendapatkan respons daripada bekas pelajar pihaknya menghebahkan di Facebook SMTI 91/92.

“Kami turut menyediakan borang kehadiran online dan saya minta bekas pelajar mengisi dan menghantarnya secepat mungkin sebelum 26 Julai ini,” katanya.

Antara pengisian pada majlis itu nanti, mereka akan mengadakan gotong-royong bersih surau dan akan menyumbangkan sesuatu kepada pihak sekolah.

Katanya, perancangan seterusnya mereka akan mendaftarkan SMTI 91/92 kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi memudahkan mereka bergerak.