CHALOK BARAT - Ketabahan seorang nenek, Siti Zaharah Awang Chik, 68, yang menjaga tiga cucu dan seorang anak kurang upaya yang disiarkan sebelum ini terus mendapat perhatian ramai.

Terbaharu, Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim kumpulan 1978 hingga 1982 (SMTI 7882) tampil membantu keluarga berkenaan dengan menyumbang sebuah peti ais bagi kegunaan Siti Zaharah sekeluarga.

Ketua Admin Kumpulan WhatsApp SMTI 7882, Mat Saufi Zainal Abidin berkata, dia dimaklumkan salah seorang alumni berhubung keperluan keluarga itu dan terus melancarkan kutipan di kalangan alumni.

“Saya kemudiannya memberitahu ahli kumpulan hasrat untuk  memberi sumbangan kepada tiga anak yatim yang dipelihara nenek selepas membaca berita mengenai keluarga itu dari sebuah akhbar.

“Dalam masa tidak sampai seminggu kami dapat mengumpul duit sebanyak RM600 dan membeli peti ais dengan harga RM599 untuk diberi kepada keluarga terbabit selepas mendapat tahu rumah mereka tiada peti ais,” katanya.

Menurutnya, peti ais berkenaan diserahkan kepada Siti Zaharah bagi memudahkan mereka menyimpan bahan mentah terutama di bulan puasa.

Diharap dengan sumbangan itu dapat membantu meringankan sedikit beban sekali gus melahirkan keceriaan kepada keluarga berkenaan.

Mat Saufi berkata, kumpulan yang baharu diaktifkan sejak tiga tahun lalu itu turut aktif dalam kerja kebajikan termasuk kepada ahli kumpulan alumni sendiri.

“Sebelum itu, kami menghulurkan sumbangan kewangan kepada seorang alumni yang mengalami lumpuh,” katanya.

Manakala bagi Siti Zaharah, sumbangan itu cukup bermakna buat mereka kerana memang memerlukan peti ais.

“Kami tak mampu nak beli peti ais, bila ada orang sudi bagi, bersyukur sangat. Di bulan puasa ini, senang boleh simpan ikan, sayur dan tak perlu keluar hari-hari beli lauk untuk masak,” katanya.