ALOR SETAR - Kira-kira 370 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mengikuti Seminar Skor 'A' 3 in 1 SPM  2018, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, baru-baru ini.

Pengetua SMK Agama Kedah, Mahir Mohamad berkata, seminar selama dua  hari itu dianjurkan Persatuan Alumni Sekolah Menengah Ugama Raudhatul Ulum (SMURU)1988 dengan kerjasama SMK Agama Kedah.

"Saya bersyukur dan berbangga atas inisiatif barisan jawatankuasa alumni  SMURU 1988 melaksanakan seminar itu.

"Usaha diambil diharapkan membantu pelajar meningkatkan pemahaman serta pencapaian mereka dalam menguasai mata pelajaran diikuti, sekaligus meraih  keputusan cemerlang," katanya.

Pengerusi Persatuan Alumni SMURU 1988, Ahmad Assim Mat Salleh berkata, program yang pertama kali dianjurkan ini  mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelajar,  guru dan ibu bapa.

Katanya, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran SMK Agama Kedah sudi menyediakan dewan untuk perlaksanaan seminar, sekaligus berazam menyemarakkan program itu di masa akan datang.

Tiga orang penceramah berpengetahuan luas dipanggil untuk memberi  pendedahan, iaitu Ustaz Shamsurry Yahaya dari SMK Agama Baling, Ustazah Rosnah Ali (SMK Taman Jelutong) dan Ustaz Saudi Abdullah (Maahad Hamidiah, Kajang).