KUALA PILAH – Peranan alumni bukan sekadar menyatukan bekas pelajar tetapi menyantuni golongan anak-anak yatim dan membantu keluarga kurang mampu.

Pengerusi program, Harifin Mohd Janor, berkata, alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Yamtuan Antah 1981-1986 ditubuhkan pada 2014, sentiasa peka dan prihatin kepada masalah menimpa anak-anak di sekolah tersebut.

“Walaupun kami sudah tamat alam persekolahan tetapi perkembangan di sekolah masih kami ikuti sehingga kini.

“Kali ini, kami terpanggil untuk memberi sumbangan kepada murid sekolah ini dari kategori keluarga kurang mampu dan anak yatim.

'Kami sekadar berkongsi sebahagian daripada pendapatan kami dengan golongan memerlukan,” katanya.

Beliau menambah, program seumpama itu dapat memupuk kesedaran dalam kalangan ahli alumni dan prihatin kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

“Aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa agar nasib mereka terbela.

Menurutnya, sebanyak 18 keperluan barangan harian dihulurkan kepada murid dan para ibu bapa terpilih sempena persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Maklumat dan latar belakang penerima diperoleh daripada pihak sekolah.

“Sememangnya tugas dan tanggungjawab alumni bukan sekadar menyatukan hubungan silaturahim yang terpisah sejak 28 tahun lalu selepas tamat alam persekolahan tetapi kami turut menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.

“Dari berbual kosong di ruang media sosial, lebih baik kami manfaatkan masa itu dengan membantu orang susah dan anak-anak yatim di kampung ini,” katanya.

Hadir sama, guru besar, Ruslah Mohd Yusof.