KUALA PILAH - Walaupun sudah meninggalkan dunia pendidikan, jasa dan pengorbanan guru tetap dikenang sehingga ke akhir hayat.

Meskipun sudah terpisah selama 35 tahun, namun bekas murid Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah (SKKP) sesi 1977 sehingga 1982 tetap mengenang jasa guru yang mendidik mereka.

Pengerusi majlis, Taib Mohd Zain berkata, kebiasaannya, pertemuan sebegini hanya melibatkan bekas murid dan rakan sekolah.

“Namun kali ini, berlainan sedikit apabila kami jemput bekas guru yang terpisah selama 35 tahun dan meraikannya dalam majlis santai.

“Setelah berbincang bersama ahli jawatankuasa, kami jemput tiga bekas guru. Bagaimanapun hanya cikgu Mohamad Sulaiman, 65, yang dapat hadir, dua daripadanya ada komitmen lain.

“Sungguhpun begitu, kami berbesar hati kerana berpeluang membalas jasa guru yang selama ini mendidik kami sehingga berjaya,” katanya.

Jelasnya, pertemuan berharga ini adalah kenangan manis yang tidak dapat dilupakan oleh bekas murid SKKP.

“Banyak perkara yang dibualkan memandangkan semuanya dah berubah, ada yang dah berkeluarga dan berkerjaya.

“Pastinya kepuasan seorang guru diukur bila mendengar khabar anak-anak didiknya dah berjaya,” katanya.