KUALA TERENGGANU - Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang batch 1980-1985 tubuhkan satu tabung sumbangan bagi membantu program kecemerlangan pendidikan murid-murid sekolah itu.

Wakilnya, Dr Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, sudah tiba masanya bekas murid sekolah itu memberikan sumbangan kepada sekolah berkenaan dalam konteks masing-masing.

Menurutnya, ia adalah tanggungjawab sosial yang patut menjadi amalan setiap bekas murid kepada sekolah.

“Jasa pihak sekolah dan guru kepada kami semua amat besar, apatah lagi bila berdepan dengan pelbagai karenah kami di zaman kanak-kanak yang penuh kenakalan.

"Kini tibalah masa kami memberikan kembali sumbangan dalam kadar yang termampu mudah-mudahan boleh menjadi ikutan kepada batch-batch lain” katanya pada Program Reunion SKL 286 'Sahabat Selamanya' yang diadakan di dewan sekolah itu pada Aidilfitri Keempat lalu.

Dalam majlis itu juga, Karangkraf turut menyumbangkan bahan bacaan yang diwakili Norliza Ghani yang akan ditempatkan di dalam perpustakaan sekolah tersebut.

Dr Syed Mohamad berkata, selain bantuan kepada pihak sekolah, kewujudan tabung itu juga adalah untuk memberikan bantuan kepada sahabat-sahabat batch tersebut yang memerlukan bantuan.

Seramai lebih kurang 50 bekas murid SK Ladang menghadiri majlis yang pertama kali diadakan selepas lebih 30 tahun meninggalkan sekolah tersebut.

“Kami bermula dengan perbincangan dalam WhatsApp dan kemudiannya menjadi sangat aktif kerana masing-masing begitu teruja berjumpa semula kawan-kawan lama," katanya.