PAGOH - Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Bagi mengimbau semula kenangan lama sewaktu sama-sama menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Pagoh, sekumpulan bekas pelajar mengadakan pertemuan semula di kawasan sekolah berkenaan.

Pengurusi program, Khalid Othman 48, berkata, setelah hampir empat dekad meinggalkan sekolah yang merupakan antara tempat awal menimba ilmu, kesemua yang merupakan murid 1977 hingga 1982 berjaya ditemukan.

Katanya, pertemuan selepas 36 tahun itu nyata bermakna selepas kebanyakannya membawa haluan masing-masing selepas tamat darjah enam.

“Paling menarik apabila kami berjaya dikumpulkan di sekolah tempat kami belajar sebelum ini yang mana merupakan lokasi kami menerima ilmu dan tempat bermain ketika zaman kanak-kanak.

“Ia sudah tentu menjadi kenangan manis dan pengalaman sayu melihatkan kawasan sekolah kami suatu ketika dahulu. Kini ia telah banyak berubah meniti kemodenan dan keperluan semasa warga penduduk di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurut Khalid, seramai 35 orang dan pasangan hadir termasuk seorang bekas guru, Abu Bakar Cik yang turut berkesempatan memeriahkan majlis itu sekali gus menceriakan suasana.

“Program ini melakar sejarah kerana sekolah kami sudah berusia 56 tahun dan kami difahamkan tiada lagi mana-mana bekas pelajar mengadakan reunion di tapak sekolah ini.

“Kami bersyukur segalanya berjalan lancar dan yang lebih utama adalah misi merapatkan ukhwah antara kami kerana sebelum ini ada beberapa rakan sekelas antara kami yang belum lagi pernah bertemu. Justeru, selain mengimbau memori, ia pastinya dapat mengukuhkan silaturrahim antara kami,” katanya.

Khalid berkata, pertemuan itu akan diadakan secara tahunan sekiranya tiada halangan.