MUAR - Tiada yang lebih mengharukan buat sekumpulan bekas murid tahun 6/1964 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jamil, di sini apabila dapat bertemu semula dengan rakan lama
selepas 53 tahun menamatkan zaman sekolah rendah.

Dalam pertemuan itu, ada sebahagian bekas murid yang tidak dapat menahan air mata kerana terlalu rindu rakannya selain berasa sayu dan tidak sangka bertemu semula.

Bagi bekas murid yang juga bekas Pengarah Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur di Jabatan Pertanian Putarajaya, Johari Siraj, 65, berkata, majlis itu menghimpunkan 38 murid dari dua kelas iaitu 6A dan 6B.

Menurutnya, jumlah sebenar murid untuk dua kelas adalah 75 orang namun, 11 orang telah meninggal dunia.

"Hanya 38 orang berjaya dijejaki dan bertemu pada majlis hari ini (kelmarin). Bagaimanapun, usaha mempertemukan 26 lagi rakan akan terus dilakukan.

“Sejujurnya, tiada perasaan lain selain bangga melihat kebanyakan kami berjaya dalam kerjaya masing-masing. Kehadiran hari ini (kelmarin) turut melibatkan rakan-rakan yang bermastautin di Singapura, New Zealand, Scotland dan United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Reunion Alumni Standard 6 (1964) Primary School Parit Jamil, kelmarin.

 Johari (kanan) menyampaikan cek RM5,000 sumbangan alumni kepada Yang DiPertua PIBG SK Seri Jamil, Mohd Sali Mohd Ali.

Johari berkata, usaha mempertemukan semula rakannya bermula daripada penubuhan grup aplikasi WhatsApp yang ketika itu dianggotai empat orang sahaja.

“Sejak kewujudan grup itu pada 2015, kami berusaha menjejaki rakan lain melalui pelbagai cara sehingga jumlahnya meningkat kepada 38 orang.

“Alhamdulillah, majlis ini berjalan lancar dan cukup meriah apabila paluan kompang turut diserikan sebagai menyambut ketibaan ahli alumni. Malah, majlis ini juga diadakan serentak dengan mesyuarat agung PIBG ke-41,” katanya.

Terdahulu, warga alumni turut memberi sumbangan bernilai RM5,000 kepada PIBG sekolah kerana kejayaan warga pendidik mencurahkan ilmu.