MUAR - Ketibaan Ramadan menjadi pencetus buat sekumpulan bekas pelajar dari dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Baru dan SMK Semerah tahun 1984 untuk berkumpul bagi mengeratkan hubungan.

Seorang bekas pelajar, Nor Rahman Hashim, 50, berkata, pertemuan kali kelima itu nyata bermakna apabila julung kali ia diadakan bersempena menyambut ketibaan umat Islam berpuasa.

Menurutnya, sebelum ini mereka hanya berkumpul apabila menjelangnya hari perayaan ataupun pada cuti-cuti umum.

“Pada majlis ini, seramai 30 bekas pelajar dari kedua-dua sekolah berjaya dihimpunkan dan kita mengadakan kenduri tahlil di rumah salah seorang rakan iaitu Yazid Misran.

“Tujuannya adalah untuk memperingati 40 rakan kami yang telah pergi terlebih dahulu,” katanya pada program berkenaan.

Menurutnya, pada sebelah petang sebelum itu, kesemua mereka mengadakan aktiviti gotong-royong di kediaman Yazid yang mana konsep itu juga adalah pertama kali dilaksanakan dalam majlis reunion.

“Alhamdulillah, melalui aktiviti seperti ini, kita dapat mengeratkan silaturahim dan ukhuwah meskipun masing-masing telah meninggalkan zaman persekolahan begitu lama.

“Paling penting adalah untuk merasai pengalaman menyambut ketibaan Ramadan yang mana sekali gus berupaya mengimbau semula kenangan kami ketika di bangku sekolah,” katanya mengakui hanya mengambil masa kira-kira seminggu untuk merancang program berkenaan.

Nor Rahman berkata, aktiviti seumpama itu akan diteruskan sepanjang tahun dengan menampilkan konsep berbeza selepas ini.