KOTA TINGGI - Menyedari tanggungjawab sebagai bekas pelajar, Geng Air Tawar 2 tahun 73 (GAT2 73) mengumpulkan dana untuk diberi kepada Sekolah Agama Felda Air Tawar 2.

Wakil GAT2 73, Rosli Amat Buhari berkata, meskipun sudah 32 tahun  meninggalkan alam persekolahan, mereka tidak pernah melupakan jasa sekolah berkenaan.

“Sekolah agama inilah tempat kami belajar solat, mengenal jawi, membaca al- Quran dan juga ilmu agama Islam.

“Tiba masanya kami balas jasa sekolah dengan menghulurkan sedikit bantuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, usaha mengumpulkan sumbangan dalam kalangan ahli GAT2 73 mula digerakkan selepas mereka dimaklumkan  mengenai masalah sekolah berkenaan daripada pengerusi badan kebajikan sekolah.

Katanya, dana dicari adalah untuk baik pulih syiling surau, tangga kecemasan  sekolah, bumbung dewan, bumbung tadika agama Johor, bumbung kantin, membina pondok wakaf dan juga untuk sistem siaraya sekolah.

Baginya, masalah yang berlaku perlu diambil berat tambahan pula ia menjadi  tempat anak-anak dan juga cucu cicit peneroka menuntut ilmu.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Pengerusi Badan Kebajikan  Sekolah, Rahimie Sarbini 019- 3327572 atau Guru Besar Ustazah Noriha Uyob 0197464488 atau salurkan sumbangan ke akaun Maybank 01069010020738.