TAMPIN – Generasi kedua dan ketiga Felda Bukit Rokan Gemencheh berjaya menggamit kembali kenangan alam sekolah rendah mereka melalui Program Tautan Kasih Anak-anak Felda berkenaan, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rokan, di sini, baru-baru ini.

Wakil penyelaras program, Othman Manhart berkata, program itu amat unik apabila dijayakan hasil daripada sumbangan anak-anak Felda yang sudah berjaya, serta masih mahu menyumbang kembali kepada pembangunan pendidikan sekolah.

“Jawatankuasa program ini diketuai Mohammad Abd Rashid. Majlis pertemuan ini bukan sahaja dihadiri oleh bekas murid, namun turut dimeriahkan dengan kehadiran Guru Besar SK Bukit Rokan, Othman Hashim.

“Kita adakan aktiviti begini pada setiap tahun. Ia sebagai medan bagi mengeratkan lagi hubungan antara bekas murid.

"Juga secara tidak langsung bagi menyokong usaha pihak sekolah dalam melahirkan modal insan masa hadapan yang berkualiti buat negara,” katanya sempena program itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Othman berkata, selain aktiviti ramah mesra, satu tabung derma ikhlas telah dilancarkan untuk disumbangkan kepada pihak sekolah bagi menjayakan program pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.

“Kita harap lebih ramai lagi bekas murid akan hadir pada program ini pada masa hadapan dan sama-sama berkongsi idea bagi meningkatkan lagi pencapaian sekolah," katanya.