YAN - Perasaan gembira dan teruja jelas tergambar di wajah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 17 apabila bertemu semula selepas 25 tahun berpisah di majlis jamuan raya baru-baru ini.

Penyelaras program, Mohamad Fauzi Hassan berkata, jamuan raya ini sudah dirancang terlalu lama bagi tujuan menghimpun semula pelajar pada  1989.

Menurutnya, majlis tersebut berjaya dianjurkan dengan adanya komitmen daripada rakan-rakan yang lain.

“Ada dalam kalangan kami yang bertugas untuk menjejaki rakan yang sudah lama tidak berhubung melalui media sosial dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya lagi, dari segi kewangan juga mereka semua bersatu hati untuk mengumpulkan dana dalam kalangan mereka.

“Selama 25 tahun kami berpisah dan membawa haluan masing-masing dan hari ini kami disatukan semula.

“Pelbagai perasaan bercampur baur yang sukar diterjemahkan, ada rasa gembira dan sangat terharu dengan pertemuan ini,” katanya.

Tambahnya, diharapkan dengan pertemuan ini, silaturahim dalam kalangan mereka dapat kembali dieratkan seperti dahulu.