MACHANG  -  Sekalipun agak janggal pada mulanya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 1984 di sini, cukup teruja apabila dapat bertemu semula selepas 34 tahun berpisah.

Pertemuan penuh makna tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran  bekas-bekas guru sekali gus mengukuhkan ukhuwah antara satu sama lain setelah sekian lama terpisah.

Pengarah program, Sideli Abdullah berkata, pertemuan kali ketiga tersebut cukup bermakna apabila dihadiri kira-kira 250 bekas pelajar dan guru berbanding 50 orang pada majlis pertama dan kedua.

Katanya, banyak kenangan pahit manis dikongsi bersama dan mereka cukup gembira dapat bertemu semula setelah sekian lama terpisah dan tiada khabar berita.

“Pertemuan semula antara rakan-rakan mungkin menjadi trend semasa hari ini namun di sebalik itu, ia adalah satu rahmat dan ‘hadiah’ yang cukup bermakna apabila dapat melihat rakan-rakan seperjuangan di depan masa sekali lagi pada usia  setengah abad ini.

“Bagi kami ia satu perjalanan yang jauh dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini seterusnya menjadikan persahabatan yang dibina sebagai satu persaudaraan yang abadi sehingga ke akhir hayat kita nanti,” katanya.

Majlis pertemuan semula tersebut diadakan di Hotel Grand Riverview sempena Aidilfitri, baru-baru ini sekali gus memanfaatkan cuti hari raya itu.

Tambah Sideli, lebih banyak program akan diadakan selepas ini bagi mengeratkan hubungan persahabatan yang sedia terjalin tersebut  dan berharap lebih ramai rakan-rakan dapat menjayakannya.

Katanya, perjumpaan berkenaan bukan saja memberi peluang bekas pelajar bertanya khabar dan mengetahui perkembangan terkini.

Tambahnya, majlis itu juga dapat menemukan semula bekas pelajar dan menyemai kemesraan antara satu sama lain.