MARANG – Cuti umum biasanya menjadi pilihan kepada bekas pelajar mana-mana sekolah untuk bertemu semula sepanjang sambutan Aidilfitri ini apabila masing-masing sudah lama tidak bertemu.

Begitu juga dengan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marang 82-86 yang merupakan antara sekolah menengah paling lama di daerah ini, yang berusaha untuk mengumpulkan kembali rakan sekelas mereka.

Setiausaha Jawatankuasa Bekas-bekas Pelajar SMK Marang, Masniah Masman berkata, pertemuan semula hanya melibatkan bekas pelajar tahun berkenaan pernah bersekolah di SMK Marang kini dikenali sebagai SMK Tengku Lela Segara.

“Kami berpuas hati kerana 51 bekas pelajar termasuk ahli keluarga mereka hadir pada majlis ini yang menemukan bekas pelajar selepas ada yang berpisah hampir 30 tahun. Malah, lima guru turut hadir pada majlis ini,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis diadakan kelmarin di Dewan Semarak, Kelulut ialah bekas Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Razali Daud yang juga bekas guru kelas mereka.

Masniah berkata, pihaknya bercadang untuk menganjurkan lagi beberapa aktiviti lebih bermanfaat dengan melibatkan bekas pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang akademik dan profesion.