ALOR KELADI - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering bersepakat  menubuhkan persatuan alumni sekolah berkenaan sebagai platform bagi bekas pelajar sekolah itu bertemu semula selain membantu aktiviti sekolah.

Pengerusi penaja, Wan Rusdi Wan Ismail berkata, beliau bersama bekas pelajar senior sekolah tersebut dan juga bekas pelajar generasi baru terpanggil untuk menubuhkan Persatuan Pelajar Sekolah Seri Nering (SSN) dan mendaftarkannya secara sah.

Menurutnya, sejak sekolah tersebut dibuka pada tahun 1969 hingga sekarang terdapat lebih 1,400 bekas pelajar SSN yang kini berada di seluruh negara termasuk ada yang menetap di luar negara.

“Penubuhan persatuan ini dengan matlamat utama untuk merapatkan ukhuwah kalangan bekas pelajar, guru dan warga SMK Seri Nering di samping mengumpul kepakaran mereka untuk dimanfaat kepada seluruh warga SMK Seri Nering sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan replika cek sumbangan bekas pelajar SMK Seri Nering sebanyak RM30, 000 kepada pengetua sekolah itu, Mohd Nur Saad di kediaman penaung penaja Persatuan Bekas Pelajar SSN di Kampung Alor Keladi, di sini.

Hadir sama penaung persatuan tersebut merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Wang hasil sumbangan bekas pelajar menerusi satu himpunan terbesar yang diadakan sekolah itu pada tahun lepas  di sekolah berkenaan  adalah bagi membiayai kerja membaik pulih surau sekolah.

Wan Rusdi berkata, apabila berjaya didaftarkan, pelbagai aktiviti dan program akan dirancang dan dilaksanakan untuk kepentingan bersama.

“Kita harap boleh menjadi tulang belakang kepada sekolah ini iaitu bekas pelajar yang berjaya membantu pula sekolah terutama memastikan kecemerlangan akademik pelajar dan membantu pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya.

Ah Wan bersama dua anaknya, Jesshua Azawarie (kanan) dan Sena yang menerima sumbangan pada Program Tumpangan Sambil Belajar Tengku Hassanal Ibrahim Shah Tengku Abdullah.

Tengku Hassanal menyampaikan sumbangan sambil beramah mesra bersama pelajar yang menerima sumbangan.