MARAN - Majlis Jalinan Silaturahim Bekas Pelajar Sekolah Menengah Maran Pahang (SMMP) kali kedua berlangsung meriah dengan kehadiran 56 bekas pelajar dari  1972 hingga 1974, semalam.

Pengerusinya, Mohd Zaini Mahmod berkata, selepas 40 tahun berpisah majlis tersebut mempertemukan mereka pada usia lewat 50an.

“Perjumpaan sebegini pastinya mengundang nostalgia dan memori kami sahabat lama. Ada dalam kalangan kami yang sudah meninggal dunia, berpencen dan ada yang masih bekerja.

“Majlis ini diadakan bertujuan untuk bertemu dan mengeratkan silaturahim antara bekas pelajar. Sebelum pertemuan sebenar diadakan, kami bekas pelajar sentiasa berinteraksi dalam media sosial

sosial dan aplikasi WhatsApp selama dua tahun dan sesi silaturahim ini adalah kali kedua dan semua bekas pelajar amat teruja,” katanya ketika ditemui di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau berkata, Group Otai SMKM 72/74 mula ditubuhkan pada 2013 dan kini mempunyai 80 ahli.

“Selain perjumpaan kami turut adakan program ziarah keluarga rakan-rakan telah meninggal dunia dan rakan yang sakit. Untuk masa akan datang kami merancang untuk mengadakan hari keluarga dengan memberi sumbangan kepada keluarga rakan-rakan yang sakit dalam usaha mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain,” katanya.

Beliau menghargai rakan-rakan yang sudi hadir meski pun berada di luar Negeri Pahang serta berharap masing-masing membawa pulang kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.