JERTIH - Sebanyak RM54,000 hasil derma bekas pelajar dapat dikutip sepanjang program Reunion Perdana Ex Sekolah Seri Nering (SSN) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering di sini pada 13 Mei lalu.

Pengerusi Alumni Ex SSN, Wan Rusdi Wan Ismail berkata, jumlah tersebut berjaya dikutip daripada bekas pelajar sekolah itu yang pulang menghadiri program tersebut dan ada yang memasukkannya melalui akaun.

Menurutnya, RM14,000 daripada jumlah itu dipotong untuk kos operasi penganjuran program reunion yang berlangsung beberapa hari dengan kemuncak pada 13 Mei tersebut.

“Kos tersebut tidak termasuk kos penyelenggaraan dan khemah yang ditaja exco kerajaan negeri merangkap Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad.

“Baki sebanyak RM30,000 pula akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk mengisi tabung surau baru SMK Seri Nering dan mengisi tabung pelajar miskin sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi bedah siasat perlaksanaan Program Reunion Perdana Ex SSN di kediaman Nawi di Kampung Alor Keladi dekat sini yang turut dihadiri 20 ahli jawatankuasa persatuan.

Wan Rusdi berkata lagi, kos tersebut sebahagian kecilnya digunakan untuk urusan penubuhan Persatuan Alumni Ex SSN.

Tambahnya, sumbangan daripada bekas pelajar tidak terhenti di sini sebaliknya persatuan mengalu-alukan bekas pelajar terutama yang berjaya untuk menderma bagi kemudahan dan kemajuan pelajar.