Satu majlis Reunion Gala Night bekas pelajar Sekolah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ) tahun 2001-2002 telah berlangsung dengan jayanya pada 5 Ogos lalu. Bertempat di Hotel Palm Mall Seremban, bekas pelajar ini akhirnya dapat berkumpul bersama setelah 15 tahun terpisah sebaik sahaja menamatkan persekolahan selepas berakhirnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bertemakan putih, merah dan kelabu, majlis gilang-gemilang yang dijayakan oleh lifestyleweddings.co & Naza Entertainment dengan dibantu oleh 8 orang bekas pelajar ini diadakan bagi menghargai persahabatan mereka sejak zaman sekolah lagi.

Pengacara majlis...Hafizzi Jalil (bekas Ketua Asrama, baju putih) dan Hafizzi Ne’mat.

Kira-kira 89 orang termasuk pasangan masing-masing telah menghadirkan diri demi merealisasikan impian bekas pelajar STTJ ini. Persiapan majlis ini telah dirancang seawal November 2016 lagi bertujuan agar bekas pelajar STTJ ini dapat mengatur masa untuk menghadirinya.

Norazlin Nordin, bekas Ketua Pelajar memberi ucapan.

Namun begitu,  tidak semua bekas pelajar dapat menghadirkan diri memandangkan masing-masing ada komitmen lain, namun majlis kali ini merupakan majlis yang julung-julung kali diadakan secara formal. Tambah menarik, turut diadakan sesi cabutan bertuah bagi memeriahkan suasana majlis.

Eliz Azima Aziz menerima hadiah utama cabutan bertuah.

Rata-rata menyatakan rasa gembira dengan penganjuran majlis ini. Mereka juga turut berterima kasih kepada pihak penganjur kerana melalui majlis inilah mereka dapat berkumpul kembali setelah berbelas tahun tidak bersua.