REMBAU – Bekas Undang Rembau English Secondary School (Uress) atau kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau (SMKUR) mencatatkan kenangan manis apabila bertemu semula selepas 44 tahun berpisah.

Penyelaras program, Mohammad Sharif berkata, idea mengadakan pertemuan semula pelajar sesi 1971 - 1973 itu timbul kira-kira empat bulan lalu apabila beberapa rakan bertanyakan lokasi Gunung Datuk.

“Dalam masa empat bulan jawatankuasa majlis diketuai Pengerusi, Masnan Abd Ghani merancang untuk anjurkan pertemuan semula ini. Ia bukan hanya membabitkan bekas pelajar, bahkan pasangan bekas pelajar.

“Tujuannya untuk menyatukan semula rakan yang dah lama tak berjumpa sejak tinggalkan sekolah pada 1973.

"Lebih menarik lagi, kami adakan pertemuan ini di Tapak Kaki Gunung Datuk. Ini satu pengalaman baru khususnya bagi rakan yang sebelum ini tidak mengetahui lokasi gunung ini,” katanya pada majlis berkenaan.

Sharif yang juga Setiausaha Majlis Ukhuwah Ex-Uress ‘71-’73, berkata, program julung kali diadakan juga berjaya menghimpunkan 26 bekas pelajar dan antara pengisian program yang dilakukan ialah solat Zuhur berjemaah, bacaan Yasin, tahlil serta bertaaruf.