MUAR - Kenangan sewaktu menuntut di Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu pastinya menjadi momen terindah buat sekumpulan pelajarnya meskipun telah 40 tahun berlalu.

Justeru, bagi mengembalikan nostalgia itu, seramai 20 bekas penuntut bertemu dalam satu majlis pertemuan semula yang diatur oleh salah seorang rakan mereka.

Penyelaras program, Norazizan Sulaiman, 62, berkata, pertemuan itu diadakan sebagai usaha mengeratkan ukhuwah setelah 32 tahun tidak bertemu.

Menurutnya, ia amat bermakna kepada mereka sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama menerima pendidikan pada 1975 hingga 1976 di maktab tersebut.

“Selain berkongsi pengalaman ketika sama-sama menuntut di maktab itu suatu ketika dahulu, kami juga berpeluang mendengar pelbagai kisah perkongsian daripada kawan-kawan sepanjang bergelar guru.

“Ia pertemuan berharga buat kami kerana jika dikenang kembali, terakhir berjumpa sebelum ini sewaktu sama-sama masih baru dalam dunia perguruan. Manakala kini bertemu kembali setelah semua bersara,” katanya.

Norazizan berkata, usaha menjejaki semula rakan-rakan terpisah suatu ketika dilakukan menggunakan pelbagai cara termasuk bantuan daripada suaminya sendiri.

“Suami saya juga merupakan penuntut di maktab berkenaan. Jadi kami saling bantu menjejaki rakan-rakan kami. Pada majlis itu, kebanyakan rakan suami yang hadir kerana rakan saya gagal dijejaki.

“Bagaimanapun ada beberapa orang rakan saya berjaya ditemukan semula. Ini kerana saya pernah memuat naik gambar lama mereka di Facebook suatu ketika dahulu dan meminta agar sesiapa yang mengenali individu di dalam gambar berkenaan untuk hubungi saya. Ternyata usaha itu berjaya menemukan empat rakan,” katanya.

Menurutnya, majlis yang diadakan di kediamannya di Sungai Abong itu turut disambut dengan cukup meriah.