RANTAU PANJANG - Linangan air mata membasahi pipi bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang apabila disatukan dalam satu majlis pertemuan semula atau 'reunion' dan ramah mesra selepas terpisah 30 tahun lalu.

Menariknya, pertemuan sulung itu berlangsung dengan penuh meriah apabila ia turut disertai guru yang merupakan tenaga pengajar di sekolah berkenaan sebelum ini.

Pengarah program, Mat Zin Mamat berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1986 dan kemudian masing-masing membawa haluan selepas itu.

"Selepas 30 tahun berpisah, alhamdulillah hari ini kami disatukan kembali melalui satu pertemuan yang cukup bersejarah," katanya.

Menurutnya, sebagai penganjur dia cukup teruja apabila semua bekas pelajar dapat hadir memberikan sokongan terhadap program pertemuan semula itu.

Katanya, sokongan itu menguatkan lagi semangatnya untuk terus menganjurkan pertemuan sedemikian pada masa akan datang.

"Pertemuan ini menjadi titik tolak kepada saya dan rakan untuk menganjurkan lebih banyak program pada masa hadapan," katanya.

Bekas pelajar SMK Rantau Panjang dan SK Rantau Panjang disatukan semula selepas 30 tahun terpisah.

Sementara itu, Fauziah Abdul Majid berkata, dia sanggup memandu dari Kuala Terengganu ke Rantau Panjang semata-mata mahu menjayakan pertemuan tersebut.

Menurutnya, pertemuan tersebut yang mengumpulkan rakan lama disifatkan amat bermakna buat dirinya selepas tiga dekad tidak bertemu.

"Ini kali pertama kami bertemu selepas 30 tahun terpisah dan ia cukup menggembirakan saya.

"Walaupun kami gembira dapat bertemu semula rakan, namun perasaan sedikit sedih tetap ada apabila mendapat tahu ada dalam kalangan kami sudah meninggal dunia," katanya.

Fauziah berkata, dia berharap program pertemuan julung kali diadakan yang berlangsung semalam akan terus dianjurkan selepas ini sambil berharap hubungan persahabatan akan terus kekal sampai bila-bila.

Bekas pelajar SMK dan SK Rantau Panjang yang tidak dapat mengikuti pertemuan ini dan ingin turut serta dalam alumni boleh menghubungi talian 0111-10613494 (Mat Zain) atau 013-9520287 (Norhayati).