SUNGAI BESAR - Seramai 44 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar sesi 1982 hingga 1986 yang terpisah selama 32 tahun bertemu semula sempena Hari Malaysia.

Pengerusi penganjurnya, Mohamed Rizal Muhd Tayab berkata, pertemuan secara santai itu dapat mengumpulkan seramai 44 daripada 109 bekas pelajar melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, kumpulan sembang itu bermula apabila beberapa bekas pelajar berjumpa dan berbincang untuk mencari semua rakan persekolahan.

“Pertemuan ini sangat bermakna kerana kami dapat menyambung kembali silaturahim yang terputus sekian lama selain dapat bertukar-tukar nostalgia dan perjalanan hidup masing-masing selepas tamat persekolahan,” katanya.

Mohamed Rizal berkata, pada pertemuan itu juga, bekas pelajar merancang menubuhkan Koperasi Alumni SMK Sungai Besar yang bertujuan membantu dan menjaga kebajikan alumni.

“Penubuhan koperasi ini juga pada masa sama menjalankan aktiviti membantu sekolah.

“Lebih manis apabila dua bekas guru yang pernah mengajar kami, iaitu Md Arrif Hairoman dan Zamhari Fadzlullah turut hadir pada pertemuan ini," katanya.

Kata beliau, pihaknya turut merancang mengadakan perjumpaan seperti ini di Kota Kinabalu dan Kundasang, Sabah pada tahun hadapan.