BAGAN SERAI – Selepas 37 tahun menamatkan alam persekolahan, seramai 20 bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Hj Aman (SKPHA) Sesi 1976-1981 akhirnya disatukan kembali dalam majlis perjumpaan semula (reunion) di sekolah itu.
Penganjurnya, Saidin Sabran, 49, berkata, usaha untuk mengadakan majlis perjumpaan bekas pelajar ini telah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
“Menerusi Whatsapp, kami telah berbincang untuk adakan majlis ini dan tidak sangka ia jadi kenyataan.
“Bertemu semula rakan lama buatkan kami rasa seperti kembali ke zaman sekolah kerana banyak nostalgia lama dapat dikongsi kembali bersama rakan-rakan,” katanya di sini, baru-baru ini.
Menurut Saidin, majlis perjumpaan itu bertambah meriah apabila turut dihadiri dua bekas guru yang pernah mengajar mereka iaitu Bahari Ali dan Shamsiah Abdul Ghani, kedua-duanya berusia 70 tahun.
“Diharapkan majlis seumpama ini akan terus diadakan bagi meningkatkan hubungan baik sesama bekas pelajar dan guru-guru disamping mewujudkan kesinambungan hubungan antara pihak pentadbiran SKPHA sekarang dengan bekas pelajar dan guru terdahulu.
“Sebahagian bekas pelajar masih bermastautin di tempat mereka belajar dan meneruskan kerjaya masing-masing di sini dan di kawasan sekitar.
Di akhir majlis, mereka beramai-ramai pergi ke majlis perkahwinan anak salah seorang rakan mereka iaitu Ruhizan Samad berhampiran dengan lokasi perjumpaan.