MACHANG - Selepas berpisah hampir 35 tahun, kira-kira 58 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, bertemu semula dalam Majlis Tautan Kasih Sanjungan Budi di sini baru-baru ini.
Majlis perjumpaan semula bekas pelajar yang bersekolah di SMK Machang antara tahun 1980 dan 1984 tersebut diatur selepas saling berhubung di media sosial bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Pengerusi Alumni SMK Machang 1980-1984, Mohd Zahid Abd Hamid berkata, program julung kali diadakan tersebut berjaya mengumpulkan 58 bekas pelajar dan 17 bekas guru dan akan diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mengumpulkan lebih ramai alumni.
Katanya, setelah sekian lama terpisah, mereka mula saling berhubung melalui media sosial dan mempunyai grup WhatsApp sendiri bagi menjalin hubungan baik antara satu sama lain.
Mohd Zahid (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pengetua SMK Machang, Haris Muhamad.
Tambahnya, bagi kemudahan bersama, mereka mengadakan majlis tersebut pada Aidilfitri mengambil peluang mereka yang tinggal di perantauan pulang beraya di kampung.
Menurutnya, majlis itu diadakan selepas berjaya menjejaki bekas pelajar sekolah itu menerusi media sosial termasuk WhatsApp dan Facebook.
"Sebagai penganjur, saya bersyukur majlis ini mencapai objektif penganjuran apabila mempertemukan semula rakan lama dan mampu mengeratkan hubungan persahabatan yang terputus.
"Pada program itu, kami saling bertukar hadiah dan sumbangan sebagai kenangan. Kami juga turut menyampaikan sumbangan kepada pihak sekolah bagi sama-sama membangunkan sekolah dan tanda terima kasih kami, " katanya.
Menurut Mohd Zahid, media sosial amat berguna pada masa ini jika digunakan pada jalan kebaikan termasuk menjejaki rakan yang lama terpisah.
Sebahagian alumni SMK Machang 1980-1984 lelaki yang hadir pada Majlis Tautan Kasih Sanjungan Budi.
Antara bekas pelajar perempuan yang hadir.
Bendahari alumni, Zaiton Mustapha (tengah) menyampaikan wang sumbangan kepada wakil SMK Machang, Rashidah Mamat.
Artikel menarik:
Nak elak mudah lupa dan tak faham sesuatu topik... ini tujuh tip yang patut anda tahu
Tahniah! Dua pelajar SMK Dato' Mahmud Paduka Raja 2 terpilih sertai jambori pengakap di Thailand
Bekas guru besar dilepas, bebas dari tuduhan salah guna wang zakat
Dr. Tengku Asmadi kongsi 11 rahsia jadi pelajar hebat
Empat tip penting untuk pelajar ikut selepas sambutan Aidilfitri