DUNGUN - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya sesi 1999 bersepakat untuk bertemu dalam majlis khas yang diadakan di sini, baru-baru ini, bagi mengimbau kenangan zaman persekolahan.

Walaupun telah membawa haluan masing-masing, namun bukan penghalang untuk mereka merealisasikan hasrat bertemu selepas hampir 20 tahun tidak bersua.

Wakil alumni, Zaifudin Zakaria berkata, biarpun teknologi serba canggih mampu menghubungkan mereka di alam maya, tetapi lebih bermakna sekiranya mereka dapat berkumpul secara bersemuka.

Menurutnya, atas persetujuan bersama, mereka memanfaatkan musim cuti persekolahan untuk bertemu.

“Selepas 18 tahun meninggalkan alam persekolahan, alumni SMK Ketengah Jaya bagi 1995 hingga 1999 merancang untuk berkumpul. Hasrat kami akhirnya tercapai walaupun agak sibuk dan mempunyai pelbagai kekangan.

“Lebih kurang 50 bekas pelajar dan ahli keluarga dipertemukan dalam majlis ini yang diadakan di sebuah kediaman seorang alumni 1999. Lebih meriah apabila majlis diserikan dengan kehadiran bekas guru yang banyak menyumbang jasa kepada kami,” katanya.

Menurut Zaifudin, majlis itu merupakan permulaan yang baik dan mereka merancang untuk mengadakan pertemuan lebih besar selepas ini.

Tambahnya, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sempena pertemuan itu.

“Selepas ini mungkin lebih ramai bekas pelajar boleh dikumpulkan memandangkan kali ini tak semua dapat turut serta," katanya.