SABAK BERNAM - Seramai enam alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 9, Sekinchan, di sini, menerima Anugerah Khas Ikon pada Program Jamuan Teh (Hi Tea) di sekolah itu, di sini.

Penyelaras program, Mahfuzah Abdul Rahman berkata, anugerah itu diberikan sebagai penghargaan kepada bekas murid sekolah itu yang berjaya dalam bidang masing-masing.

"Kita amat menghargai alumni-alumni sekolah ini yang menunjukkan pencapaian  cemerlang dan seterusnya boleh dijadikan sebagai contoh kepada murid agar dapat
meraih kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Enam anugerah itu ialah, ikon profesional, Datuk Ishak Bakri, ikon aktivis  masyarakat, Yusof Abdullah dan ikon sukan, Mohd Ishak Fahmi.

Penerima lain ialah ikon  keusahawanan, Aziz Othman, ikon pendidikan, Dr Nurhuda Salleh dan ikon  korporat, Ir Rofie Sarbini.

Seramai 600 alumni bermula sesi 1967  hingga 2007 hadir pada majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  sekolah berkenaan.

Mahfuzah berkata, majlis itu juga bagi membina jalinan kerjasama di samping  memberi peluang kepada mereka kembali ke sekolah dalam suasana dan tanggungjawab berbeza.

"Kita merancang beberapa program bersama pihak sekolah dengan penglibatan alumni secara aktif untuk membantu membangunkan prasarana sekolah dan program pembangunan insan," katanya.