Majlis perjumpaan semula atau reunion kini menjadi trend untuk mengumpulkan rakan sekolah dan merapatkan hubungan.

Begitu juga dengan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (STARS), Selekoh (Alumni STARS), Parit

Pada Mei lalu, seramai 50 bekas Alumni STARS, berkumpul dalam satu majlis perjumpaan untuk kali ketiga, di dewan terbuka STARS, Mei lalu.

Pengasas alumni STARS, Miza Sapawi, alumni yang kini lebih dikenal dengan nama ‘Group Sweet62’, amat gembira apabila dapat menghimpunkan hampir keseluruhan bekas pelajar STARS tahun 1979 walaupun pada mulanya agak sukar, disebabkan ramai yang berhijrah selepas tamat persekolahan.

"Ada yang terus tidak dapat dihubungi sehingga kini," katanya.

Menurut Miza, sebelum ini mereka mempunyai kumpulan dalam laman Facebook, namun usaha untuk mengadakan reunion atau penyatuan semula tidak pernah berhasil sehinggalah mereka mula menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Inilah masa untuk kami berkumpul. Selain dapat mengeratkan hubungan antara rakan lama, majlis itu juga dijadikan platform mencari idea bagi membantu membangunkan sekolah.

"Walaupun kami tidak mampu membantu dari segi dana, tetapi sekurang-kurangnya kami boleh membantu dari segi menjana idea untuk meningkatkan lagi prestasi sekolah.

“Ahli alumni STARS ini kebanyakannya boleh dikatakan terdiri daripada saudara mara sendiri kerana umur kami yang sebaya dan bersekolah di sekolah yang sama. Banyak kenangan dan cerita yang kami kongsikan saat berkumpul,” katanya.

 

Tambahnya lagi, antara langkah awal yang diambil adalah mengekalkan dan menguatkan lagi silaturahim antara mereka dengan saling berhubung serta meneruskan usaha menjejaki bekas pelajar yang masih belum dapat dihubungi.

“Menerusi aplikasi WhatsApp, memudahkan kami bertanya khabar serta merancang aktiviti yang dapat dibuat bersama alumni dengan mudah dan cepat.

“Kita berhasrat untuk menjadi sebuah alumni yang kukuh seperti sekolah ternama yang lain. Mereka kukuh kerana ahlinya memberi kerjasama yang sangat baik.

“Jadi, kita akan cuba terapkan semangat itu dalam alumni STARS dengan lebih kerap melakukan aktiviti kemasyarakatan bersama," katanya.

Justeru, beliau percaya mereka mampu menjadi sebuah persatuan yang kuat dan mencapai matlamat penubuhan persatuan alumni berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pakar Psikiatri, Hospital Besar Ipoh, Datuk Dr Ahmad Rasidi M Saring.

Pada majlis itu, beliau turut menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Alumni STARS.