TANAH MERAH - Musim durian di Kelantan turut memberi peluang kepada Grup Sahabat Selamanya Sekolah Menengah Tanah Merah (SMTM) alumni 1985 berkumpul dan menjayakan majlis makan durian dan masuk dusun.

Pengasas grup, Hanisah Mohamed berkata, majlis makan durian dan masuk ke dusun jarang dirasai dan peluang ini tidak dilepaskan memandangkan pada musim durian tahun ini, durian yang ditanam kebanyakannya menjadi.

“Jadi kita tidak lepaskan peluang berkumpul bersama-sama masuk dusun tinjau keadaan dan makan durian yang baru sahaja lepas luruh.

“Pengalaman ini amat menarik dan mungkin tidak dapat dirasai pada waktu-waktu biasa,” katanya.

Hanisah berkata, program itu juga mendapat sambutan yang baik dalam kalangan ahli dan diharap akan dianjurkan lagi pada masa akan datang.

“Kita mahu grup ini sentiasa aktif dan mempunyai pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan.

“Lagipun grup ini merupakan antara yang aktif dan  kita mahu hubungan alumni sentiasa baik memandangkan sudah terpisah lama selepas sekolah dan membawa haluan masing-masing,” katanya.