BATU GAJAH - Walaupun lebih 30 tahun meninggalkan alam persekolahan, kesungguhan ditunjukkan bekas pelajar Sekolah Menengah Batu Gajah 1980- 1984 (SMBGIAN 8084) sangat membanggakan bekas guru mereka.

Mohamad Zabhi Daud, 62, berkata, beliau bangga melihat hubungan anak didiknya yang masih baik sehingga hari ini.

“Walaupun sudah lebih 30 tahun, tapi hubungan antara kami masih seperti dulu, saya sentiasa diundang sekiranya mereka mengadakan pertemuan atau program.

“Kali ini saya dijemput untuk sama-sama menjayakan program Kembali ke Sekolah Lagi yang dianjurkan dengan inisiatif mereka sendiri. Saya begitu menghargainya hingga sanggup memandu lebih 100 kilometer dari Bachok semata-mata untuk bersama mereka hari ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sepanjang berada dalam bidang pendidikan, kumpulan SMBGIAN 8084 merupakan antara bekas pelajarnya yang begitu aktif dalam membantu golongan memerlukan.

Seorang lagi bekas guru, Mohd Ghazali Abdullah, 60, turut mengakui berbangga memiliki anak didik berjiwa besar seperti mereka.

“Hampir 38 tahun saya dalam dunia pendidikan, tak ada yang boleh bersatu hati seperti mereka, sepakat membantu golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Alumni SMBGIAN 8084, Ir Wan Bainillah Wan Senik berkata, seramai 167 murid sekolah rendah dari beberapa kampung sekitar Batu Gajah terpilih menerima sumbangan seragam sekolah pada program itu.

“Ia antara tanggungjawab sosial kami kepada murid di sini terutama dalam kalangan asnaf. Moga sumbangan kecil ini memberi kegembiraan buat mereka,” katanya