KAMPUNG PAUH - Meskipun sudah 41 tahun meninggalkan alam persekolahan, persahabatan bekas pelajar Sekolah Me­nengah Kebangsaan Seberang Takir (SMKST) tahun 1973 hingga 1977 masih kekal hingga kini.

Dek kerana pertalian itulah, mereka berkumpul memeriahkan Hari Keluarga Batch 73-77 SMKST bertemakan Bersama Jalinkan Ukhwah di sini, kelmarin, yang disertai kira-kira 150 orang termasuk ahli keluarga.

Pengerusi jawatankuasa program, Salleh Ali berkata, program yang melibatkan aktiviti sukaneka dan barbeku itu julung kali diadakan sepanjang tiga tahun mereka mula mengadakan perjumpaan secara beramai-­ramai.

“Selepas tamat sekolah masing-masing bawa haluan sendiri, tetapi bermula 2016 kami kembali berkumpul dalam majlis sambutan hari raya yang diadakan di dewan sekolah (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri).

“Aplikasi WhatsApp kembali menyatukan kami semua dan pada tahun lepas juga kami adakan majlis sama bertempat di sebuah hotel di Kuala Terengganu. Hari ini (kelmarin) kami berkumpul kembali dengan julung kali diadakan aktiviti sukaneka.

“Ada yang datang bersama anak cucu, jadi selain dapat terus eratkan silaturahim sesama kami, ikatan ukhuwah ini dapat diteruskan oleh anak cucu pula,” katanya.

Salleh berkata, pihaknya berhasrat untuk mengadakan aktiviti perjumpaan dalam skala besar sebegitu setiap tahun.