JERTIH - Selepas lebih tujuh bulan merancang, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering akhirnya dapat mengadakan himpunan bekas pelajar sejak 1969 hingga terkini di sekolah berkenaan, kelmarin.

Lebih 1,000 bekas pelajar dan guru sekolah berkenaan yang lebih dikenali sebagai Sekolah Seri Nering (SSN) hadir pada majlis perjumpaan terbesar dinamakan Majlis Reunion Perdana Ex SSN.

Pengerusi penganjur, Wan Rusdi Wan Ismail berkata, program itu julung kali diadakan membabitkan semua bekas pelajar sepanjang 48 tahun usia sekolah.

Menurutnya, program bermula pada Khamis dengan majlis tahlil, ceramah motivasi, dikir barat, derma darah, jualan dan pelbagai acara menarik lain selain majlis perasmian kelmarin.

“Penganjur anggar kehadiran pengunjung sejak hari pertama pameran dan jualan termasuk pengunjung yang hadir menyaksikan dikir barat dan perasmian lebih 2,000 orang,” katanya selepas majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim mewakili Timbalan Perdana Menteri.

Mustafa juga merupakan bekas pelajar SSN peringkat kedua iaitu 1970 hingga 1974. Hadir sama, penaung penaja program yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Menurut Wan Rusdi lagi, suasana agak mengharukan kerana ada antara bekas pelajar sudah puluhan tahun tidak berjumpa dan majlis tersebut mempertemukan mereka semula.

“Majlis ini berjaya menarik bekas pelajar termasuk yang bertugas di luar negara untuk pulang memberi sokongan ke arah penubuhan persatuan di samping mengumpul dana bagi pembinaan surau dan mengisi tabung kebajikan pelajar miskin dan pelancaran Persatuan Alumni Ex SSN.

“Seorang bekas pelajar yang kini menetap di Kepulauan Cocos berdekatan Australia sejak 20 tahun lalu sanggup pulang semata-mata untuk menghadiri majlis ini sekali gus bertemu semula dengan rakan-rakannya,” katanya.

Katanya, kehadiran bekas guru yang pernah mengajar di sekolah berkenaan sejak sekolah berkenaan dibuka turut memeriahkan suasana.

Sementara itu, Mustafa dalam ucapannya berkata, pertemuan itu bukan sahaja dapat mempertemukan bekas pelajar, tetapi juga dengan bekas guru yang banyak berjasa.

Menurutnya, hasil didikan guru-guru telah melahirkan insan yang berguna kepada bangsa dan negara.

“Kerana jasa gurulah menjadikan kami seperti sekarang atau orang sini kata jadi orang dan majlis seperti ini juga sebagai menghargai jasa guru,” katanya.  

Mustafa berkata lagi, usaha itu amat baik kerana pada masa sama menjurus kepada menjaga kebajikan pelajar agar dapat terus belajar dengan sempurna tanpa sebarang kekangan.