MUAR - Seramai 20 bekas penuntut Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur mengadakan pertemuan dalam satu majlis diadakan di sini, baru-baru ini.

Penyelaras program, Norazizan Sulaiman, 62, berkata, pertemuan itu diadakan untuk mengeratkan ukhuwah antara mereka setelah 32 tahun tidak bertemu.

Menurutnya, pertemuan semula itu amat bermakna kepada mereka sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama menerima pendidikan pada tahun 1975 hingga 1976.

“Selain berkongsi pengalaman ketika sama-sama menuntut di maktab suatu ketika dulu, kami juga berpeluang mendengar pelbagai kisah perkongsian daripada kawan sepanjang bergelar guru.

“Ia adalah pertemuan yang sangat berharga buat kami kerana jika dikenang kembali, kali terakhir berjumpa sebelum ni ketika sama-sama masih baru dalam dunia perguruan, manakala
kini bertemu kembali setelah semuanya bersara,” katanya.

Norazizan berkata, usaha menjejaki semula rakan menggunakan pelbagai cara termasuk bantuan daripada suaminya sendiri.

“Suami saya juga penuntut di maktab berkenaan. Jadi kami saling membantu menjejaki rakan kami. Pada majlis itu, kebanyakan rakan suami yang hadir kerana rakan saya gagal
dijejaki.

“Bagaimanapun ada beberapa rakan saya berjaya dipertemukan semula kerana saya pernah memuat naik gambar lama mereka di Facebook suatu ketika dahulu,” katanya.

Majlis pertemuan yang diadakan di rumah Norazizan di Sungai Abong di sini, berlangsung meriah.