SEGAMAT - Ibu bapa perlu sentiasa peka dengan perkembangan anak mereka dan tidak meletakkan tanggungjawab mendidik di bahu guru semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ibu bapa juga perlu menjalin hubungan akrab dengan guru di sekolah terutama bagi mereka yang memiliki anak kurang upaya (OKU).

“Kerjasama baik antara kedua-dua pihak mampu membantu perkembangan pendidikan anak istimewa ini, seterusnya memberi dorongan kepada mereka agar gigih berusaha membina masa depan cemerlang.

"Jika ada sebarang masalah, ibu bapa boleh berhubung terus dengan pihak sekolah. Mereka juga boleh bertanya perkembangan anak pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sewaktu menerima kunjungan marhaban 68 pelajar pendidikan khas dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, di rumahnya, di sini, kelmarin.

Ayub turut menyarankan ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan seterusnya berkongsi dengan masyarakat supaya lebih ramai mendapat maklumat tepat.

Sementara itu beliau berkata, ini kali pertama beliau menerima kunjungan marhaban pelajar pendidikan khas dan berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang.