KLANG - Jasa guru sentiasa dikenang. Itulah yang dilakukan oleh alumni Sekolah Kebangsaan Bukit Naga (SKBN) bagi sesi tahun 1974 sehingga 1979 (Tahun 1 hingga 6) apabila lebih banyak mengadakan program ziarah bekas-bekas guru mereka sebagai pengisian aktiviti pertemuan semula.

Program ziarah ini selain menyantuni guru-guru yang pernah mendidik mereka sebelum ini, ia juga sebagai usaha mengaktifkan aktiviti alumni mereka sekali gus merapatkan hubungan yang telah lama terputus selepas tamat persekolahan.

Ketua program ziarah, Bahrin Sidek berkata, program ziarah yang dilakukan sekumpulan alumni tersebut adalah kesinambungan program tahun lalu.

"Program ini juga sebagai tanda terima kasih dan penghormatan terhadap guru-guru yang pernah mendidik kami," katanya sambil memberitahu kesemua rakan sekelasnya berjumlah 35 orang.

Katanya, mereka belajar di kelas yang sama sejak 1974 dan telah terpisah kira-kira 36 tahun lalu.

"Daripada jumlah berkenaan hanya 25 orang sahaja bekas rakan sekelas yang berjaya ditemukan kembali bermula tahun 2015.

“Dulu dalam kelas majoriti adalah murid Melayu. Ada enam atau tujuh orang bangsa India. Selama enam tahun belajar dalam kelas sama kami dah macam adik-beradik.

"Apa yang dibanggakan, hubungan kami masih tetap utuh seperti dulu. Kami macam adik beradik. Rakan-rakan berbangsa India pun masih fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Bekas pelajar menyuapkan makanan kepada guru yang pernah berjasa kepada mereka sebelum ini.

Menurutnya, dia memilih mengadakan program pertemuan semula ini dengan menyantuni guru-guru di sekolah rendah kerana mahu guru-guru mereka rasa dihargai.

"Kami juga bahagia dan gembira apabila cikgu-cikgu yang kami ziarah terharu dan gembira. Kami seronok cari cikgu kami. Alhamdulillah, setakat ini kami dah berkunjung ke tiga buah rumah cikgu.

“Insya-ALLAH, kami akan jadikan program ini sebagai acara tahunan dan menziarahi rumah guru selagi berkemampuan," katanya.

Katanya, program ziarah rumah bekas Guru Besar SKBN, Cikgu Abu Bakar diadakan 8 Disember lalu di Taman Sri Andalas Klang dihadiri 15 ahli dan turut dihadiri dua guru lain iaitu Cikgu Sukarman dan Cikgu Mahrol.

Tahun sebelumnya mereka ziarah  Cikgu Sukarman di Kampung Jawa dan mereka telah kenal pasti dua guru lagi untuk diziarahi.