KAMPUNG AIR TAWAR - Kehadiran bekas guru kelas yang pernah mendidik mereka lebih 30 tahun lalu menjadikan pertemuan bekas pelajar Sekolah Rendah Tengku Mahmud (SRTM) 1974-1979 dan Sekolah Menengah Tengku Mahmud (SMTM) tahun 1980 dan 1984, di sini lebih bererti.

Pengerusi penganjur, Wan Ni Sapura Wan Husain berkata, Majlis Temu Mesra dan Ulang Tahun ke-50 membabitkan pelajar sama dari dua sekolah itu sangat bermakna apabila dihadiri tiga bekas guru.

Menurutnya, guru terbabit, Ali Akhbar Farid Khan, 77, pernah mengajar mereka di SRTM yang kini dikenali Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud.

“Dua lagi guru turut hadir ialah guru yang mengajar kami ketika di SMTM dulu dan kini Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud iaitu Abu Bakar Ramli, 62, yang merupakan guru fizik dan Jali Arshad, 62.

“Kehadiran mereka menjadikan majlis ringkas dihadiri 40 bekas pelajar yang kini berusia 50 tahun dan menetap di segenap ceruk di negara ini lebih meriah serta menjadi kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis yang diadakan di MNM Primula Resort, di sini.

Wan Ni Sapura berkata, pada majlis itu, pihaknya menyampaikan cenderahati kepada bekas guru sebagai mengenang jasa mereka mendidik sehinggakan sebahagian besar bekas pelajar terbabit berjaya dalam pelbagai bidang diceburi masing-masing.

"Pada majlis sama turut diadakan persembahan dikir barat oleh pendikir yang dijemput khas untuk menghiburkan bekas pelajar yang rata-rata sudah lama tidak menyaksikan persembahan dikir barat dari dekat kerana tinggal di luar negeri ini.

“Pertemuan kali ini bukan pertemuan pertama dan kami merancang untuk mengadakan perjumpaan yang lebih besar selepas ini,” katanya.