BANGI – Sebanyak 54 pasukan yang terdiri daripada Alumni Sekolah Sains Haji Ahmad Shah Pekan, Pekan Pahang (Shah Pekan) menyertai Kejohanan Futsal dan Bola Jaring Alumni Shah Pekan 2017 yang berlangsung di Uptown Sport Bangi, di sini, semalam.

Menurut pengurus acara berkenaan, Mohd Johari Mashruddin, kejohanan ini merupakan kali kedua, sejak ia mula dianjurkan  pada tahun 2016.

“Ini merupakan satu rekod yang terbaik kerana kita berjaya mengumpulkan 54 pasukan. Kesungguhan dan kerjasama yang  diberikan oleh bekas pelajar  merancakkan lagi program tanpa sebarang kesulitan.

“Melalui komen-komen positif menerusi media sosial Facebook dan Instagram  Alumni Shah Pekan, kejohanan kali ini berlangsung dengan begitu meriah dan hebat
sekali,” katanya.

Acara itu dirasmikan oleh Presiden Alumni Shah Pekan, Datuk Remie Arman  Musa. Sementara itu Remie Arman berkata, pihaknya berjaya menghimpunkan lebih 550
bekas pelajar mewakili 27 generasi sekolah berkenaan dari tahun 1990 hingga 2017.

“Objektif utama adalah mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah melalui  aktiviti sukan antara bekas pelajar dan yang baru menamatkan pengajian di Shah Pekan. Kita berharap mereka sentiasa memberi sokongan kepada acara dan program yang dianjurkan.

“Selain menggalakkan budaya sihat ia juga dapat mencungkil bakat baru untuk diserap ke dalam Pasukan Alumni Shah Pekan untuk mewakili pertubuhan di peringkat Alumni Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan ini merupakan acara tahunan Alumni Shah Pekan.

“Kita akan menambah beberapa lagi acara, selain futsal  dan bola jaring pada masa depan,” katanya.

Kejohanan itu terbahagi kepada tiga kategori futsal iaitu Master (1990-1999), Senior (2000-2008), Junior (2009-2016) dan satu kategori bagi acara bola jaring.