CHENOR - Keceriaan jelas tergambar pada wajah 70 ahli Kelab Alumni Sekolah Menengah Tengku Ampuan  Afzan,Chenor (SMTAAC G61) apabila dapat
berkumpul sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali keempat di dewan sekolah itu baru-baru ini.

Ahli kelab membabitkan bekas pelajar yang lahir tahun 1961 itu memulakan majlis dengan bacaan doa oleh Pengerusi kelab yang juga Pengetua Sekolah
Menengah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh Zaberi Abd Hamid.

Menurutnya, objektif penubuhan kelab itu ialah memupuk semangat setia kawan bagi semua bekas murid sebaik saja meninggalkan bangku sekolah.

"Selain itu, kebajikan ahli turut menjadi keutamaan dengan mewujudkan tabung khairat kematian, memberi sumbangan  kebajikan kepada ahli yang memerlukan dan menziarahi ahli kelab yang ditimpa musibah, serta mengadakan perjumpaan tahunan dan jamuan hari raya..

"Juga Kelab Alumni wanita turut mengadakan program bacaan tadarus al- Quraan sesama ahli kelab  dalam bulan puasa lalu," katanya.

Mereka juga bertuah kerana dua bekas guru sekolah itu turut meluangkan  masa menyertai sambutan tersebut.

Menyingkap kembali nama asal sekolah tersebut,  pada mulanya ia dikenali dengan nama Sekolah  Menengah Kebangsaan (SMK) Chenor.

Bagaimanapun, pada 1 April 1974, Sultan Pahang,  Sultan Ahmad Shah telah merasmikan sekolah itu dan  berkenan menukarnya kepada Sekolah  Menengah Tengku Ampuan Afzan Chenor.