BALING - Persatuan Alumni Madrasah Misbah Al-Falah mengalu-alukan kedatangan bekas pelajar madrasah itu ke Jamuan Muttaqa Aidil Mahabbah di Kompleks Tafaqquh Fiddin, Kejai pada 16 Jun depan.

Setiausaha Madrasah Misbah Al- Falah, Hilmi Yaacob berkata, bekas pelajar kepada pengasas madrasah, Allahyarham Tuan Guru Omar Zuhdi itu difahamkan berada di seluruh negara.

Katanya, tujuan pertemuan itu ialah bagi memupuk silaturahim selain mengenal pasti bekas pelajar madrasah yang telah menamatkan pengajian.

“Bekas pelajar bermula dari 1958 hinggalah hari ini. Pernah pada satu-satu ketika, jumlah pelajar cecah lebih 1,000 orang.

“Jika kita tak buat program seumpama ini, hubungan antara bekas pelajar tak dapat dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, madrasah itu melahirkan ramai penuntut yang berjaya.

“Ada yang sambung belajar tempat lain, ada bekerja sendiri, ada yang buka pondok, jadi hakim mahkamah syariah dan lain-lain lagi.

“Program ini juga akan memberi tautan ukhuwah yang baru antara bekas pelajar dengan anak dan cucu tok guru,” katanya.

Hilmi berkata, program kedua itu bermula jam 4 petang hingga 9 malam.

“Sebelum ini hanya program kecil, tetapi kali ini antara yang terbesar dianjurkan.

“Antara atur cara program ialah perutusan Aidilfitri oleh pengerusi alumni, deklamasi sajak, amanat tuan guru dan lain-lain,” katanya.