MAJLIS Tautan Kasih Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan (SMTA) siri ke-3 berjaya menghimpunkan 60 bekas pelajar sekolah tersebut.

Majlis di Casa Villa Pelindung Hill Guest House yang disertai bekas pelajar sekolah itu untuk sesi 1987 hingga 1997 itu turut berjaya mengumpulkan 13 bekas guru termasuk bekas pengetuanya, Normah Teh.

Pengerusi majlis, Jurieena Abdul Rani berkata, majlis itu dianjurkan setiap lima atau enam tahun sekali membabitkan bekas pelajar sekolah tersebut.

Menurutnya, pihaknya turut menghargai komitmen bekas pelajar dan guru yang meluangkan masa walaupun ada yang datang dari jauh seperti Samsiah al-Malik dari Sabah yang tidak pernah ketinggalan dalam setiap majlis perjumpaan mereka.

“Kita hargai komitmen mereka yang sanggup luangkan masa untuk menyertai majlis perjumpaan semula (reunion) sebegini dan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim.

“Majlis ini menjadi medan buat kami semua berjumpa kembali selain dapat mengimbas kembali nostalgia ketika belajar di sekolah itu,”katanya.

Menurutnya, program itu dijalankan dan dikendalikan menerusi aplikasi Whatsap.

“Selepas ini, kita akan menubuhkan pertubuhan bekas pelajar sekolah itu untuk mencari dana bagi membantu bekas pelajar yang mengalami sakit kronik,”katanya.