SHAH ALAM – Menjadikan pelakon Raja Azura yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4, di sini, sebagai pengacara membuatkan majlis makan malam yang diadakan Bekas Pelajar Melayu Klang (BPMK) 2017 penuh ceria.

Majlis yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), Sabtu lalu penuh gelak ketawa dengan celoteh Raja Azura mengenakan bekas guru dan rakannya di pentas.

Acara yang dinamakan Majlis Malam Nostalgia BPMK 2017 dihadiri 500 bekas guru dan pelajar dari sebelas sekolah sekitar Klang yang  bergabung di bawah BPMK.

Sekolah berkenaan termasuk SMK Tinggi Klang (HSK),SMK (P) Methodist Klang (MGS),SMK Methodist (ACS) Klang (ACS), SMK Convent Klang (CK),SMK Tengku Ampuan Rahimah Klang (STAR), SMK Sultan Abdul Samad Klang (SAS), SMK (P) Raja Zarina Klang (RZ),SMK La Salle Klang (LSK),SMK Tengku Ampuan Jemaah Klang (STAJ), SMK Dato' Hamzah Klang (SDH) dan SMK Sri Istana Klang (SL).    

Antara tetamu kehormat yang hadir, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Tan Sri Onn Ismail dan Datin Paduka Norhayati Onn.

Pada majlis itu, Abu Hassan yang juga Penaung BPMK turut menerima kejutan apabila ahli persatuan menyambut hari jadinya yang ke –77. Lebih manis, isteri beliau, Wan Nor Daud turut menyanyikan lagu buat suami tercinta.