SUNGAI BESAR - Kira-kira 1,000 alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, di sini, dijangka hadir memeriahkan program ‘Mega Reunion Alumni SMK Bagan Terap’ sempena sambutan 40 tahun penubuhan sekolah itu, 24 September ini.

Pengetuanya, Suhaimi Sabran berkata, program itu dijadualkan berlangsung di Dataran Za’aba sekolah itu dan dijangka akan dirasmikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

“Kita berharap program ini dapat menarik perhatian bekas guru, kakitangan dan pelajar SMK Bagan Terap untuk hadir ke majlis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, objektif utama program itu bagi mengumpulkan alumni dan mengimbau nostalgia perkhidmatan serta persekolahan mereka di sekolah sejak ditubuhkan pada 1 Januari 1977.

“Di samping itu, kita juga mahu memupuk rasa cinta dan komitmen alumni untuk menabur khidmat bakti dalam pelbagai kaedah seperti kepakaran, idea, tenaga dan kewangan.

“Kaedah itu membantu sekolah meningkatkan pencapaian akademik dan menambah baik fasiliti sedia ada ke tahap yang boleh dibanggakan dan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Suhaimi yang juga penasihat jawatankuasa pelaksana program berkata, pihaknya berharap dapat mengumpul dana bagi membina dewan terbuka bagi kemudahan dan kegunaan guru dan murid melaksanakan pelbagai aktiviti.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mejar (B) Rasimin Mat Nayan berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat almuni sekolah itu untuk dihubungi bagi menjemput semua alumni hadir ke program itu.

“Setakat ini 20 batch alumni berjaya dihubungi. Jadi kami masih berusaha untuk mengumpulkan kesemua 40 batch alumni sekolah ini bagi memastikan program ini mencapai objektifnya,” katanya.