PERLIS - Sempena Festival Teater Negeri Perlis, Persatuan Lantunan Suara (LANTRA) telah mempersembahkan teater bertajuk Nasi Lemak di Dewan Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis, 20 Oktober lalu.

Persatuan ini dianggotai alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis bersama pelajar-pelajar bagi menjayakan persembahan ini.

Teater tersebut telah dipentaskan dengan jayanya hasil sentuhan pengarah muda, Aiman Abdullah, juga merupakan alumni sekolah itu.

Kebanyakan pelakon yang asalnya terdiri daripada bekas pelajar SMK Perlis telah berjaya memikat hati penonton.

Tidak dinafikan juga, peserta yang baru menyertai persatuan itu turut menonjolkan lakonan mereka secara bersahaja seperti sudah lama dalam bidang lakonan.

 

Karya Aiman Abdullah ini mengisahkan tentang dua orang perempuan transgender yang bernama Charie (lakonan Muhd Afiq) dan Camelia (lakonan Shah) yang berniaga nasi lemak di pinggir jalan sebuah kawasan perumahan kos rendah. Perniagaan mereka semakin berkembang tetapi keuntungan mereka dicemburui oleh seorang janda berhias yang bernama Eton (lakonan Solehah). Watak Salmah Kreko (lakonan Azean) berjaya dilakonkan dengan baik kerana berjaya memikat hati juri seterusnya menobatkan Azean sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada malam penyampaian hadiah. Selain itu, watak lain seperti Siti (lakonan Athirah) sebagai anak perempuan Eton membawa cerita ini lebih lucu kerana wataknya yang bersahaja dan seorang yang lurus. Seterusnya, watak bomoh (lakonan Ijoy) dan pembantu bomoh (lakonan Luqman) berjaya membawa penonton berada dalam situasi serius ketika Eton dan Salmah berjumpa bomoh untuk meminta tangkal bagi menjatuhkan perniagaan Charie dan Camelia. Di akhir persembahan, watak ustaz (lakonan Aiman Abdullah) telah menyentuh tentang mentaliti orang kita yang suka meminta bantuan daripada makhluk lain sedangkan kita sebagai orang yang beragama Islam hanya memohon pertolongan daripada Allah. Perbuatan menyerupai kaum Nabi Luth juga telah ditekankan agar penonton mengambil pengajaran di atas teguran dan nasihat yang disampaikan walaupun dalam lakonan.

 

Kesimpulannya, walaupun persatuan ini terdiri daripada golongan orang muda dan pelajar, mereka tidak gentar bertanding bersama pasukan yang lebih senior dan berpengalaman.

Bagi mereka, ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan malah turut memberi mereka faham lebih mendalam tentang teater.