TANJONG KARANG – “Walaupun sudah dirancang lama, alhamdulillah program khatam al-Quran dapat dilaksanakan bersama otai alumni sekolah ini,” demikian kata Setiausaha Group Mengaji Otai SMK Dato Haron, Kapten (B) Adnan Lamun.

Menurutnya, program yang bertujuan untuk mengimarahkan lagi surau dengan aktiviti khatam al-Quran, tahlil dan selawat sekali gus mengeratkan lagi hubungan alumni dengan pentadbiran sekolah.

“Program ini sudah dirancang lama tapi disebabkan banyak komitmen lain, jadi sering tertangguh tapi alhamdulillah kami dapat menjayakannya seperti yang direncanakan.

“Pada masa sama, kita buat kutipan dana untuk kegunaan surau dan memberikan sumbangan kepada dua sahabat yang kurang upaya (OKU) juga hadir,” katanya.

Dia berkata demikian pada Program Khatam al-Quran Group Mengaji Otai SMK Dato Haron, di sini yang disertai 48 peserta termasuk pengetua, Aspuriah Masoad.

Menurutnya, pihaknya turut mahu mengesan rakan seperjuangan iaitu bekas jurulatih tetap askar wataniah (PSI) dan pegawai turus tetap (PSO) yang terpisah hubungan lebih 50 tahun.

“Saya difahamkan mereka masih sihat dan berada di seluruh negara termasuk Kedah, Melaka, Johor dan Perak. Ada juga yang dikesan berada di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Sabak Bernam.

“Kalau nak sebut nama agak ramai tapi kepada mereka yang sebelum ini tersenarai atau pernah berkhidmat sebagai PSI dan PSO dapat menghubungi saya di talian 011-1513 3246,” katanya kepada Sinar Harian.

Adnan berkata, dia bercadang untuk mengadakan program perjumpaan semula bekas rakan seperjuangan bagi mengeratkan lagi hubungan persahabatan.