SUNGAI PETANI – Padang Sekolah Ibrahim gamat apabila kira-kira 50 alumni yang hampir 40 tahun meninggalkan sekolah kembali semula bagi meraikan sambutan 100 tahun sekolah.

Dalam perjumpaan itu juga, turut diraikan ulang tahun kelahiran bekas jurulatih bola sepak mereka yang ke-80.

Wakil Persatuan Alumni Sekolah Ibrahim (IOBA) Sentral, Omar Bakhi Ahmad berkata, sebahagian alumni merupakan bekas pemain yang pernah mengharumkan nama sekolah dalam kejohanan bola sepak sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat daerah dan negeri.

Menurutnya, kehadiran mereka juga bertujuan memeriahkan sambutan ulang tahun sekolah yang diraikan secara besar-besaran tahun ini di mana acara kemuncaknya dijangka pada 19 September nanti bagi pengisytiharan 100 tahun.

“Kami bawa bekas jurulatih, coach Gurusamy yang pernah memberi tunjuk ajar dan berkongsi teknik serta kepakaran kepada pasukan bola sepak sekolah yang pernah mengharumkan nama sekolah suatu masa dahulu.

“Lebih istimewa, sambutan ulang tahun kelahiran beliau juga disambut bersama bekas pemain dan alumni di padang sekolah bagi mengimbau kenangan lama,” katanya ketika hadir ke Karnival Bola IOBA, baru-baru ini.

Beliau berkata, rata-rata alumni kini mempunyai kerjaya masing-masing termasuk dalam bidang profesional seperti peguam, pensyarah dan ahli korporat di samping menceburi perniagaan sehingga bergelar usahawan berjaya.

“Dulu 'Ibrahim' meraikan kami sebagai pelajar sekolah dengan pelbagai kenangan dan jasa yang begitu banyak sehingga kami berjaya dalam kerjaya masing-masing, kini kami pulang bagi meraikan sekolah dan menyumbang sesuatu yang lebih bermakna,” jelasnya.

Dalam pada itu, Group Ex Ibrahim 77-82 mengisi pertemuan dengan menjalankan aktiviti santai dan bermalam di Chalet Terapung Segantang Garam, Merbok sebaik selesai aktiviti padang.

Beliau berkata, sambutan 100 tahun dijalankan sepanjang 2019 di seluruh negara memandangkan alumni berdaftar menetap di pelbagai negeri dan lokasi.